Kami menghasilkan bukti kesihatan yang boleh dipercayai yang boleh digunakan oleh orang di seluruh dunia untuk membuat keputusan kesihatan termaklum. Kami berkerja untuk memastikan bukti kami digunakan untuk memberikan kesihatan yang lebih baik untuk semua.
1. Kami menghasilkan bukti yang tepat pada masanya, relevan untuk dan dengan orang yang paling memerlukannya
Kerja utama Cochrane adalah menghasilkan ulasan sistematik. Ulasan sistematik adalah suatu cara menyemak kesemua data dan keputusan daripada penyelidikan tentang soalan kesihatan tertentu melalui cara yang standard, untuk memberikan gambaran keseluruhan yang objektif dan jelas bagi semua bukti yang berkaitan. Ulasan sistematik ialah bentuk bukti kesihatan yang paling boleh dipercayai, dan kami dianggap umum sebagai pemimpin dalam ulasan sistematik. Ketahui lebih lanjut tentang ulasan sistematik.
Kami menulis ulasan Cochrane supaya profesional kesihatan, pesakit dan penggubal dasar kesemuanya boleh mendapat maklumat yang tepat dan terpercaya apabila mereka perlu membuat keputusan tentang bagaimana mencegah, merawat atau mengurus keadaan – sama ada pada peringkat individu atau untuk mencipta garis panduan kesihatan global. Kami menghimpunkan bersama pakar penyelidik, doktor klinikal, individu dengan masalah kesihatan dan keluarga serta penjaga mereka untuk menulis ulasan tentang pelbagai topik kesihatan, bagi memastikan penemuan kami adalah relevan dan berguna untuk semua. Melalui strategi saintifik kami kami memberi tumpuan kepada empat keutamaan penyelidikan untuk menangani cabaran kesihatan yang paling mendesak.

“Cochrane pada asasnya telah mengubah landskap penggunaan penyelidikan dengan mewujudkan jambatan antara pembuat keputusan kesihatan – sama ada pesakit, penggubal dasar atau pembekal kesihatan - dan pengetahuan saintifik.”
Luis Gabriel Cuervo, Colombia. Penasihat Kanan, Promosi dan pembangunan penyelidikan, Pertubuhan Kesihatan Pan American/Pertubuhan Kesihatan Sedunia

“Cochrane membantu saya membantu diri sendiri, dan membantu ramai orang – terutamanya wanita yang menghidap kanser payudara. Perpustakaan Cochrane memberikan anda maklumat yang boleh dipercayai dan terkini, yang menjadikan anda pesakit yang lebih bijak dan lebih terlibat.”
Sara Yaron, bekas pesakit kanser payudara, Israel
2. Kami menjaga dan memperbaik kehidupan dengan memastikan semua orang boleh menyumbang dan memanfaatkan bukti yang terpercaya
Kami menyediakan sumber percuma dan sokongan kepada semua yang mempunyai kemahiran, pengalaman dan keinginan untuk membantu kami meningkatkan kesihatan global. Kami melatih pesakit, keluarga dan penjaga mereka tentang bagaimana memahami dan menyumbang kepada ulasan kami; kami menyokong para profesional kesihatan dan penyelidik dengan kemahiran menulis ulasan yang kompleks; kami menjalankan acara dan webinar untuk melibatkan, menyokong dan mengemas kini pelbagai orang; dan banyak lagi.
Kumpulan Cochrane di seluruh dunia adalah tulang belakang unik untuk kerja kami, menghimpunkan bersama orang dengan semua jenis kepakaran untuk menghasilkan penemuan kesihatan yang relevan dengan pelbagai budaya, persekitaran dan etnik. Melalui penterjemah sukarelawan kami, kami menerbitkan bukti kami dalam lebih daripada 20 bahasa, mendedahkan penyelidikan kami kepada berjuta-juta orang, terutamanya mereka di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana atau mereka yang mempunyai akses terhad untuk maklumat yang boleh dipercayai. Kesemua ulasan kami mengandungi ringkasan bahasa mudah untuk memastikan semua orang dapat memahami penemuan kami.
Bukti kami dipercayai di seluruh dunia disebabkan oleh ketelitian kaedah ulasan kami, polisi editorial kami yang ketat, pasukan ulasan kami yang terkenal dan beraneka, dan komitmen kami terhadap peningkatan berterusan. Ketahui lebih lanjut tentang mengapa bukti kami dipercayai.

“Penulis melibatkan saya dari mulanya, apabila anda perlu memilih hasil manakah yang anda mahu gunakan, hasil manakah yang penting untuk pesakit. Ia terutamanya menarik melakukan implikasi untuk praktis, kerana kita tahu bagaimana kita dirawat dalam praktis klinikal.”
Bernd Arents, Belanda, yang telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam Ulasan Cochrane berdasarkan pengalamannya dengan ekzema

“Terdapat saintis yang bekerja di belakang tabir dan menghasilkan perbezaan, pastinya. Ia membuatkan saya berasa sangat gembira untuk mengetahui, bukan sahaja yang dia mendapat rawatan, tetapi mengapa dia mendapat rawatan dan bagaimana dia mendapat rawatan. Ia pasti membuatkan saya berasa sangat bersyukur.”
Rebecca Selby, UK, bersama anaknya George, yang telah diberikan steroid untuk menguatkan paru-parunya sebagai bayi pramatang berdasarkan penemuan Cochrane
3. Kami bekerjasama secara lokal dan global untuk mengukuhkan komuniti dan meningkatkan impak
Kami mempunyai hubungan rasmi dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan penemuan kami memaklumkan sebahagian besar garis panduan mereka. Para penyelidik kami bekerja dengan ramai pakar perubatan dan pertubuhan dan persatuan penjagaan kesihatan, yang bermakna bukti kami mencecah jutaan orang melalui garis panduan dan dasar kesihatan yang dipatuhi oleh doktor klinikal di seluruh dunia. Baca tentang impak kerja kami.
Kami mempunyai hubungan dengan penerbit, institusi penyelidikan dan pengajian, pembekal kesihatan dan badan amal perubatan untuk menghebahkan penemuan kami dan menyokong untuk penjagaan yang lebih baik berdasarkannya. Kami juga berusaha untuk melindungi masa depan perubatan berasaskan bukti: kami pergi ke sekolah tempatan dan menyediakan sumber kepada universiti untuk mengajar generasi akan datang tentang bagaimana menggunakan bukti kesihatan. Kami menyediakan alatan, data dan perkhidmatan ulasan tersuai kepada institusi yang mempercayai bukti kukuh dan kepakaran kami. Ketahui lebih lanjut tentang produk dan perkhidmatan kami.

“Kami mahu menyokong perkhidmatan tempatan untuk mendukung diri mereka sendiri dan kini mereka boleh menggunakan maklumat ini seperti yang mereka perlukan – sama ada untuk menunjukkan di mana mereka mungkin perlu membuat perubahan atau untuk menunjukkan bahawa apa yang mereka lakukan adalah berkesan dan memberi manfaat kepada kanak-kanak, keluarga dan komuniti. Mereka benar-benar membuat perbezaan.”
Dr Natalie Strobel, Pengarang Cochrane dan Felo Penyelidik Kanan di Pusat Penambahbaikan Perkhidmatan Kesihatan Universiti Edith Cowan untuk Kanak-kanak dan Keluarga Orang Asli dan Torres Strait, Australia

“Kerjasama dengan Cochrane adalah sangat penting untuk WHO, dan inilah sebabnya kami menghargai perkongsian ini. Cochrane ialah salah satu institusi utama, pada peringkat global khususnya, yang mensintesis, menganalisis, dan menyebarkan bukti supaya bukti ini boleh digunakan oleh WHO dalam proses garis panduan.”
Dr Marie Paule Kieny, Bekas Penolong Ketua Pengarah, Sistem Kesihatan dan Inovasi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia